JellyPages.com

Wednesday 13 May 2015

REFLEKSI 2 : Anisah Ibrahim


Assalamualaikum dan salam sejahtera..


Tanggal 28hb April lalu, merupakan kali ketiga kami melaksanakan program tinta qasih dengan penghuni rumah anak-anak yatim At-Taqwa Puchong. Kami merasa teruja untuk berjumpa dengan adik-adik di sana, setelah seminggu selepas lawatan kedua kami.

Sepanjang perjalanan banyak kenangan semasa lawatan pertama dan kedua menjadi topik perbualan utama kami, terasa rindu untuk bermain dengan adik-adik. Sampai sahaja kami di sana, mereka baru  selesai menunaikan solat fardhu zohor berjemaah. Momen yang menyentuh hati kami apabila terdapat sebilangan kecil adik-adik yang hendak pergi ke sekolah petang meminta kami untuk menuggu mereka sehingga balik. Sehingga ada yang bercadang untuk ponteng sekolah, seakan-akan terasa wujudnya jalinan dan kasih sayang antara kami sebagai kakak kepada mereka.

Aktiviti pada hari itu kami mulakan dengan  melukis dan mewarna bersama adik-adik di sana. Beberapa bahan kami sediakan untuk aktiviti tersebut iaitu dengan menggunakan pinggan kertas dan warna crayon. Kami memberi peluang kepada mereka untuk meinterprestasikan perasaan dan menjana kretiviti mereka melalui lukisan. Banyak lukisan yang dihasilkan antaranya rumah, kucing, potret rakan-rakan, nama, ultraman dan banyak lagi. Kami juga membantu mereka menulis nama masing-masing. Ada sebahagian yang minta nama mereka dituliskan dengan tulisan berangkai katanya sebagai kenangan..Aktiviti ini secara tidak langsung mengeratkan lagi ukhwah kami bersama penghuni rumah anak-anak yatim At-Taqwa yang telah kami anggap sebagai adik sendiri.

Sebahagian daripada kami menjalan aktiviti memasak untuk dihidangkan sebagai juadah minum petang mereka. Menu yang disediakan kali ini ialah popia telur, cheese cake, dan air sirap. Adik-adik juga turut sama membantu sepanjang gerak kerja memasak dijalankan. Bahkan mereka suka apabila kami memberitahu akan membuat kek untuk mereka. Menjelang petang kami bersama-sama minum petang bersama mereka. 

Sepanjang sehari berada disana, kami merasa sanggat bersyukur kerana berpeluang untuk mengenali adik-adik sekalian. Mereka mesra dan ramah semuanya. Kami bersama-sama membantu mereka menyudahkan tugasan melipat kain yang dilakukan secara bekerjasama antara satu dengan yang lain. Melihat wajah adik-adik yang riang dan ceria ini membuatkan hati kami berat untuk berangkat pulang ke universiti Malaya. Ada yang meminta kami untuk berada sehingga lepas waktu isyak, untuk bersama-sama semasa waktu belajar, walaupun kami ingin memenuhi kehendak mereka namun apakan daya bebanan tugasan dan komitmen lain menghalang kami. Apa pun sepanjang program titian qasih ini berlangsung banyak mutiara pengajaran yang dapat kami perolehi, kami dapat mengenali anak-anak disini dengan lebih rapat, memupuk perasaan sayang dihati kami untuk mereka, program ini juga secara tidak langsung dapat membantu mengubati rasa rindu kami terhadap keluarga yang berada jauh nan di kampung.

Buat adik-adik rumah At-Taqwa, adik isma, habah, qistina, tohid, haikal, khairul azry, khairul azrin, ain, nana, aiman dan lain-lain..kakak doakan adik-adik menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayang Allah SWT, berjaya di dunia dan akhirat, semoga sentiasa ceria selalu..Insha Allah ada masa kita jumpa lagi..Program ini tidak akan berhenti setakat disini saja. 

Salam Sayang dan Rindu,
ANISAH IBRAHIM








Tuesday 12 May 2015

REFLEKSI 2 - Salwa Hasanah

Assalamualaikum ;)

Alhamdulillah , pada 28 April yang lalu kami berjaya menyelesaikan tugasan untuk hari ketiga kami di Rumah anak-anak yatim At-taqwa. Bukan bererti tugasan ini berakhir maka berakhirnya hubungan kami dengan adik-adik disana. Insyallah jika diberi kesempatan dan peluang,kami tetap akan mengunjungi dan menziarahi mereka. 

Berbeza dengan hari pertama dan kedua, penerimaan adik-adik dirumah anak-anak yatim At-Taqwa semakin baik. Mereka masih mengenali kami dan menyambut mesra apabila kami sampai dirumah tersebut. Ada yang memeluk dan ada yang tersenyum melihat kami. Alhamdulillah bukan mudah untuk mendekati hati adik-adik dan kami diberi kepercayaan untuk berkongsi pengetahuan dan perasaan dengan adik-adik di Rumah anak-anak yatim At-Taqwa.

Aktiviti pertama kami ialah kraftangan. Kami serta adik-adik disana bersama-sama membuat kraftangan dan cenderahati di atas pinggan polistren dengan menggunakan crayon mengikut kreativiti masing-masing. Jelas kelihatan gembira dari wajah mereka. Tanpa kami sangka, adik-adik disana kebanyakan kreatif dan pandai melukis.






Sambil membuat kraftangan, sebahagian daripada kami menyediakan "cheesekut" dan popia untuk jamuan petang anak-anak yatim. Adik-adik disini yang banyak membantu kami ketika kami menyediakan jamuan petang untuk mereka. 



Selepas memasak dan menyediakan jamuan petang untuk mereka, kami berkesempatan berbual dengan Ustazah Norhayati pemilik Rumah Anak-anak yatim At-Taqwa. Banyak pengetahuan dan input yang kami terima mengenai rumah dan juga anak-anak yatim disini. Kami juga berkesempatan bermain dan beramah mesra bersama adik-adik sebelum kami pulang.

Sungguh ! Banyak kenangan yang tercipta bersama anak-anak yatim ini. Kami belajar menghargai ibubapa dan juga mencari kekuatan disebalik sesuatu ujian. Kekuatan mereka mungkin tidak sama seperti kami yang masih mempunyai keluarga,ibubapa dan juga tempat tinggal yang selesa tetapi adik-adik ini langsung tidak menunjukkan kesedihan malah mereka sentiasa tersenyum menerima bahawa setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

Alhamdulillah, satu pengalaman yang amat bermakna buat kami semua.Insyallah tekad dihati, kami akan datang menziarahi dan meluangkan masa bersama anak-anak yatim disini jika diberi kesempatan lagi.  Terima kasih tak terhingga pada rakan-rakan dan semua pihak yang membantu kami bagi menjayakan lapangan kerja Jalinan Masyarakat ini.



-Salwa Hasanah Binti Mohamad Anuar

REFLEKSI 2 : Nurul Husna Abdul Rahim

Alhamdulillah atas segala anugerah dan bantuan dapat kami selesaikan tugasan Jalinan Masyarakat di Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa bagi memenuhi syarat kursus pada semester kali ini. Melalui tugasan ini, saya diberi amanat sebagai ketua kumpulan buat pertama kalinya sejak saya berada di Universiti Malaya oleh rakan-rakan sekumpulan. Sejujurnya, saya merasakan agak kekok untuk mengetuai perjalanan kami ini, tetapi dengan bantuan rakan-rakan sekumpulan saya mampu menjalankannya walaupun terdapat banyak cacat celanya. Ini adalah kali pertama saya mengetuai dan saya ingin memohon kemaafan kepada Dr. Aishah,penyelia kursus Jalinan Masyarakat kami atas segala masalah yang timbul juga mengucapkan ribuan terima kasih cadangan, nasihat dan pesanan yang diberikan.

Bermula dengan pertemuan kali pertama bersama Ustazah Norhayati bagi mengenali serba sedikit tentang Rumah At-Taqwa, kemudiaanya kunjungan kami yang kedua membawa saya ke sebuah dunia yang barangkali saya sendiri biasa dengannya, tetapi tidak pernah untuk cuba mengenali apa yang ada didalam dunia tersebut. Kini, pertemuan yang ketiga lebih bermakna kerana kami sudah mengenali adik-adik di Rumah At-Taqwa dan perasaan kekok dan malu juga tidak lagi menguasai kerana ia seperti rumah kami bersama adik-adik yang sangat peramah dan penghuni-penghuni didalamnya juga sudah mesra dengan kami. Lega dengan keadaan ini.

Disebabkan kekangan tertentu kami tidak dapat datang pada hari Isnin seperti yang dijanjikan dan kami tiba disana pada hari selasa. Saya sangat terharu bila ada yang bertanya “Kenapa kakak tak datang semalam? Hari ni kami ada Kokurikulum…” Nada kecewa Daniel yang saya dapat tangkap. Mereka menunggu rupanya. Ada juga yang bertanya “Kenapa kakak datang lewat sangat hari ini? Kami sekolah petang. Tak boleh nak berborak..” Pertanyaan Qisma sekali lagi membuat saya kesal. Disebabkan Hari Selasa kami mempunyai kelas pada waktu pagi, kami terpaksa memulakan perjalanan kami agak lewat sekitar jam 12 tengahari.

Aktiviti yang kami jalankan tidak banyak bebeza dari kunjungan kami sebelum ini. Kami tidak mahu mereka merasa terganggu dengan kehadiran kami. Teringat dengan pesanan Dr.Aisyah ketika kami membentangkan kertas kerja projek “Jangan menyusahkan Ustazah dan adik-adik di sana”. Jadi, saya dan rakan sekumpulan memutuskan hanya ingin mengikuti jadual mereka disana dan mungkin apa yang kami boleh beri dengan membuat kuih untuk minuman petang mereka. Kali ini, kami membuat popia sayur dan cheesekut.

Saya ingat lagi pada mulanya mereka muak dengan popia tetapi apabila mereka merasa popia inti kentang pada kunjungan sebelum ini, mereka sangat suka. Kali ini pula mereka bertanya lagi dan habis dalam sekelip mata. Mujurlah setengah dapat disimpan untuk mereka yang masih belum balik dari sekolah. Alkisah pula tentang cheesekut, Daniel baru pulang dari sekolah terus meluru dengan pen dan kertas “Kak, saya nak resepi cheesekut. Nanti boleh jual kat sekolah.” Terkejut saya dibuatnya. Kagum dengan Daniel yang baru berusia 12 tahun. Sebelum ini ada sesetengah adik-adik ini menjual kek batik di sekolah dan kini Daniel mengikut jejak langkah mereka untuk membuat cheesekut. Thumbs up for you! Saya berikan sahaja kerana cheeskut tidak memerlukan api untuk membuatnya dan ia agak selamat untuk mereka.

Selain itu, kami juga membuat aktiviti bersama adik-adik yang lebih kecil. Mereka boleh melukis apa sahaja yang mereka mahu di atas pinggan kertas dengan menggunakan warna dan peralatan yang kami sediakan. Ada yang sangat teruja sehingga banyak mereka lukis. Rakan-rakan saya yang mempunyai bakat terpencil sangat membantu. Seperti biasa, petang mereka perlu mengasingkan baju-baju yang telah dibasuh dan melipatnya. Sesi melipat baju ini sangat mencabar kerana saya menyedari bahawa lipatan baju saya lebih hodoh daripada adik-adik. Malu. Di samping itu, kami berborak bersama ustazah dan adik-adik. Segala macam cerita yang mereka ada. Kali ini, saya cuba menjadi pendengar pula.


Siang sudah hampir melabuhkan tirai dan maaf dari kami kerana tidak dapat memenuhi permintaan adik-adik untuk berada sehingga malam disana. Kami mempunyai komitmen yang lain yang tidak dapat dielakkan. Insha Allah doakan agar kami berkelepangan untuk berkunjung ke sana. Alhamdulillah dengan rezeki yang ada, kami menghadiahkan adik-adik At-Taqwa dengan set water colour. Ustazah sangat gembira menerimanya. Kata Ustazah tahun ini mereka di At-Taqwa kurang menerima bantuan dari segi alat-alat persekolahan kerana mungkin Malaysia digemparkan dengan banjir di negeri Kelantan.



Kepada sesiapa yang bermurah hati bolehlah salurkan sumbangan kepada pihak asrama ini demi meningkatkan prasarana dan kabajikan adik-adik di sini. Sesungguhnya kunjungan ini amat bermakna kerana mendekati adik-adik adalah satu anugerah dan pengalaman yang tidak mampu dilupakan. Semoga adik-adik ini berada di bawah lindunganNya..



Monday 11 May 2015

REFLEKSI 2 : Siti Nazhatul Nadira Binti Azhar

Refleksi 2 : Siti Nazhatul Nadira Binti Azhar
(Hari Selasa bersamaan 28/4/2015)


Alhamdulilah, Itulah ungkapan yang kami sering ucapkan tatkala selesainya program kami di Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa ini. Jika di lihat kembali sebelum kami memilih tempat ini sebagai pilihan program kami, kami merasakan agak sukar untuk diteruskan kerana adanya pelbagai halangan dan dugaan yang perlu kami hadapi bersama. Tetapi dengan semangat kerjasama dan komitmen yang dicurahkan, kami mampu melakukan dengan sehabis baik. 

Kami lakukan setiap aktiviti berpandukan satu matlamat dan objektif yang hanya ingin menjalinkan hubungan yang erat bersama masyarakat walaupun sumbangan kami hanya sekadar mampu sahaja. Sungguhpun begitu, kenangan dan memori yang tercipta bersama mereka mana mungkin terpadam dengan mudah kerana kami akan mengenang setiap kenangan tersebut didalam hati buat selamanya kerana kenangan ini sungguh bernilai dan indah. 

Kenangan indah dan bernilai ini bermula pada pukul 12.30 tengah hari, kami bertolak menaiki kereta dari Universiti Malaya. Seperti biasa perjalanan kami membawa harapan supaya dapat memberi sedikit kebahagiaan dan kegembiraan kepada mereka semua walaupun pertemuan hanya seketika. Segala barangan kelengkapan dan keperluan dibawa sama. Kami tiba kira-kira jam 2 petang. 

Setibanya kami disana, kami disambut baik oleh adik-adik dan warga rumah tersebut. Belum sempat kami melangkah masuk, mereka semua sudah menyerbu kami dengan penuh keriangan dan senyuman. Kami diberikan pelukan erat oleh mereka semua dan ternyata pelukan itu seperti ingin melepaskan rindu yang sekian lama tidak bersua. Hati kami mulai tersentuh, sayu jika kami terpaksa meninggalkan mereka semua. 

Kami beramah mesra bersama adik-adik, kami berbual, berkongsi cerita, gelak bersama, bergurau bersama. rindu saat itu kerana ketika ini kami merasakan kami semua mempunyai ikatan persaudaraan yang cukup erat walaupun kami mengambil masa yang singkat untuk mengenali antara satu sama lain. 

Kami bercadang ingin melakukan dua masakan pada hari tersebut. Ternyata berhasil, kami membuat cheesekut dan popia berinti lobak merah dan telur. Cadangan membuat cheesekut bermula apabila ketua kami Husna berhasrat untuk memberi satu resepi baharu kepada adik di rumah tersebut untuk dijual. Pada kunjungan kami sebelum ini, adik di rumah tersebut membuat kek batik untuk dijual sebagai sumber mencari duit tambahan mereka. Kami berasa kagum dengan mereka kerana kegigihan yang mereka tunjukkan untuk mencari duit simpanan sendiri. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perasaan itulah hadir didalam diri kami tatkala mengenang kegigihan dan kesungguhan mereka. Walaupun usia masih remaja tetapi pemikiran mereka amatlah luas dan rasional. 






























Kami membuat cheesekut dan popia bersama-sama sehinggalah siap. Kami menjamu selera bersama-sama dengan dihidangkan air anggur. Ternyata kemeriahan rumah tersebut dapat dirasai oleh kami walaupun kami hanya datang tidak sampai sehari. 

Pada petang itu, kami menghabiskan masa bersama dengan megemas dan lipat baju bersama-sama. walaupun tugasan harian mereka dengan menguruskan segala keperluan diri sendiri dengan melipat baju sendiri dan sebagainya. tetapi kami merasakan mereka melakukan tugasan ini secara bersama-sama. Mereka menyidai pakaian bersama-sama, melipat baju bersama-sama, mereka juga makan dengan menggunakan talam (dulang besar). 

Semasa aktiviti memasak didapur, Salwa dan rakan kami yang lain mengajar adik-adik membuat kraf di ruang tamu. Seronok melihat mereka melakukan kraf tersebut dengan menggunakan pinggan kertas dan pensel warna serta krayon. Aktiviti ini dapat mengasah kreativiti mereka semua dengan melukis diatas pinggan kertas tersebut. 


 

 









 


 

 Masa semakin cepat berlalu, pertemuan yang ditakdirkan ini memberi kenangan yang sangat besar dalam hidup kami. Banyak pengajaran dan pengalaman yang kami perolehi dari adik-adik dan warga Rumah At Taqwa ini. Dilahirkan dengan hati yang kental dan kuat untuk menghadapi dunia ini, ditambah lagi dengan ujian dan dugaan besar bahawa ibu bapa mereka yang sudah kembali ke Rahmatullah. Sungguh hiba hati ini, bersyukur tidak terhingga di atas pertemuan ini ya Allah.

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan, walaupun hati menahan sebak, mata menahan untuk mengelak dari mengalir ke pipi. Kami dapat merasakan hati yang lagi sedih dari adik-adik dan warga rumah At Taqwa ini sendiri kerana mereka hanya dapat merasai kasih sayang daripada orang ramai sahaja. Setiap gelak tawa, gurau senda akan disemat dalam fikiran menjadi benih semaian setiap kenangan yang kami lalui disini.

Pelukan erat daripada adik-adik disini memberi seribu pelukan yang membawa harapan untuk kami bersua lagi pada masa akan datang. Doa dan harapan kami agar pertemuan ini akan berterusan sehingga masa akan datang. Semoga ikatan yang terjalin ini akan kekal sehinggan ke akhirnya.




Saturday 9 May 2015

REFLEKSI 2 - Siti Rokiah Binti Mahmud

Refleksi 2 - Siti Rokiah Binti Mahmud

Assalamualaikum W.B.T.

28 April 2015 (Selasa) merupakan hari berakhirnya program bagi kumpulan kami ke Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa di Puchong. Ketibaan kami ke sana telah disambut dengan riang oleh adik-adik yang menghuni di sana.


Bagi mengeratkan lagi tautan kasih antara kami dan adik-adik, kami telah menyediakan beberapa aktiviti. Antaranya adalah aktiviti melukis dan mewarna menggunakan warna crayon di atas pinggan polistrene. Perasaan gembira tidak terkata apabila diri ini dapat bermain dengan adik-adik di sana. Kadangkala manusia meluahkan perasaan melalui coretan dan lukisan bukannya melalui kata-kata. Saya berharap melalui lukisan yang telah dihasilkan oleh adik-adik tersebut mampu sedikit sebanyak menjadi medium luahan diri masing-masing. Setiap kali memandang mereka, terdetik rasa di hati betapa bersyukurnya kita masih punyai keluarga dan rumah sendiri. Betapa beruntungnya diri apabila mengenangkan dapat makan makanan yang diingini setiap hari. Namun begitu, keberuntungan dan kesyukuran mereka tetap tidak dapat ditandingi. Biarpun perasaan mereka tidak dapat kami teroka tapi melihat senyuman yang terukir di bibir mereka cukup menyejukkan hati. Ada yang melukis rumah, menggambarkan mereka pasti merindui rumah mereka. Saya belajar bahawa seberat manapun ujian Allah, saya harus tersenyum dan melangkah dengan gagah sambil menadah tangan kepada-Nya. Di rumah ini jugalah mereka belajar mengaji di pagi atau petang hari memenuhi kekosongan hari sedangkan kita yang mempunyai segala-galanya mungkin sukar untuk menyelak muka Al-Quran walaupun semuka sehari.




Dalam memenuhi kekosongan waktu, kami telah memasak popia gorang yang berintikan sayuran dan membuat cheesekut untuk adik-adik-adik di sana. Kami dibantu oleh beberapa orang adik di sana ketika menggulung popia. Pepatah ada mengatakan bahawa tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Kami sangat bersyukur dan berbesar hati kerana mampu memasakkan sesuatu untuk mereka walaupun makanan yang biasa-biasa sahaja.





Dalam keriangan harusnya terselit kenangan. Adik Qoit, seorang kanak-kanak comel yang manja dan comel serta mesra dengan sesiapa sahaja yang dikenalinya. Dirinya sering diusik oleh kawan-kawannya dan dia hanya menangis (sekejap sahaja). Tetapi betapa beruntungnya adik Qoit adalah dia mempunyai abang yang sangat menyayangi dirinya. Setiap kali diusik, abangnya iaitu Danial dan rakannya yang lain akan memarahi sesiapa yang mengusik adiknya. Keadaan ini sudah cukup menjelaskan bahawa biarpun mereka adik-beradik berada jauh daripada keluarga mereka mampu menjaga antara satu sama lain bahkan hubungan mereka juga semakin erat. Di sini saya belajar bahawa walaupun perbezaan antara saya dan orang lain sangat besar saya patut terima orang lain, menghargai mereka dan menjaga mereka seperti keluarga sendiri.

Inilah Adik Qoit =D

Dalam sibuk melayan keriangan adik-adik, tibalah masa untuk kami pulang ke UM. Perasaan sedih tidak dapat dipendam. Saya yakin setiap ahli kumpulan berasa sedih dan seolahnya kami akan kehilangan sesuatu, biarpun keberadaan kami di sana hanyalah untuk beberapa ketika tapi kami benar-benar jatuh kasih terhadap mereka. Membayangkan bebanan adalah tidak sama dengan menanggung beban itu sendiri. Hanya doa mampu dititipkan setiap hari semoga adik-adik berjaya di dunia dan akhirat. Harapan juga sangat tinggi agar suatu hari dapat menjejakkan lagi kaki ke sana.






Kegembiraan yang dirasa tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana rindu itu abstrak bentuknya tidak mungkin dapat diukur besar mahupun beratnya. Adik-adik, jika kerana Allah kita bertemu, kasih kita bertaut, maka kerana Allah juga kita akan bertemu lagi selagi panjang umur.


REFLEKSI 2 - Wan Syahirah bt Mior Lokman

Assalamualaikum
hye semua :)

Alhamdulillah, selesai sudah aktiviti kami di Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa 28 April yang lalu.


Indah, inilah pengalaman yang amat sukar kami lupakan. Menghabiskan masa bersama anak-anak kecil di rumah ini meninggalkan kesan dan beribu makna buat kami.

Mungkin, apabila melihat kembali tentatif kami, aktiviti yang dirancang dilihat amat biasa..namun setelah semuanya berakhir, jelas dan nyata setiap aktiviti bernilai buat kami dan anak-anak ini.


Setibanya kami di rumah tersebut, kami disambut mesra oleh anak-anak ini. Belum sempat kami mengeluarkan barang dari kenderaan, ada beberapa orang anak ini bergegas ke arah kami. Ternyata kehadiran kami kali ini dinanti.Seronok saat disambut di hadapan pagar rumah ini. Mereka jelas kelihatan ceria dan beberapa orang pelajar perempuan sedang bersiap untuk pergi ke kelas tahfiz. Isma salah seorang anak di situ amat mesra sejak hari pertama kami di sini. Setibanya kami 28 April yang lalu Isma anak yang pertama keluar dari pagar dan menyambut mesra tangan Syira.



Sama seperti sebelum ini, kami akan beramah mesra dahulu dengan anak-anak di rumah ini sebelum memulakan aktiviti.


Kali ni Syira jadi "orang dapur" juga..menu untuk hidangan minum petang kali ni adalah cheesekut dan popia. Bila letak barang atas meja je, ada seorang anak lelaki datang menyapa ...


budak l : "hari ni akak nak buat apa?"
              "akak buat popia lagi tak ?"
                  saya : "npe? suka tak ? yang hari tu habis?"
budak 1  : "aah..bukan habis, tak cukup"


Tau tak satu perasaan ni bila kita ikhlas buat sesuatu untuk orang lain dan kita dapat respon yang baik dari tindakan tersebut..."nikmat" seronok sangat rasa tu.
Kami menyediakan cheesekut dan popia bersama anak-anak ini. Mereka memang amat suka apabila ada aktiviti sebegini kerana ia jarang dilakukan. Ada beberapa anak ini yang sedang bergegas untuk pergi ke sekolah saat kami tiba. Mereka sempat meninggalkan pesan

"akak, nanti buat, simpan untuk kami tau"


kali ni tak dapat memasak bersama kerana mereka perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar iaitu pergi ke sekolah, namun masih ramai anak-anak yang lain menyertai kami :D


Aktiviti kraf merupakan salah satu aktiviti yang kami lakukan pada hari tersebut. Kami menyediakan "paper plate" dan "crayon" buat anak-anak ini melukis. Macam-macam jenis lukisan ada, menjana minda kreatif..itulah idea kami.



Ada hadiah istimewa buat anak-anak ini. Kami memberi sumbangan ikhlas iaitu 1 set "water color, bekas dan berus". Nampak je hadiah ni dalam plastik, teruja anak-anak ini.


"apa tu ? nakk..nakkk 2 !"

"nanti nak bawa pergi sekolah la"


haha...rinduu..semua sibuk nak tolong dan tak sabar nak dapat hadiah yang tak seberapa. Mungkin bagi kita...setakat set water color tu boleh je dapat di mana-mana kedai, tapi buat anak-anak ini sukar bagi mereka mendapatkannya dan ada antara mereka yang belum pernah cuba menggunakannya.



Sekejapnya masa berlalu, rindu anak-anak ini. Rindu senyuman mereka, layanan mesra, gelak tawa, bantuan ikhlas yang mereka beri. Rindu ! Kami tahu, jauh di sudut hati, mereka sedih kerana mereka tahu selalunya tidak kerap kami akan datang ke sini dan menghabiskan masa bersama. Kami akui,sekiranya tidak ada program seperti Jalinan Masyarakat ini, mungkin kami juga sukar atau tidak berkesempatan untuk melayari kehidupan anak-anak ini. InsyaAllah, sekiranya diberi peluang dan diizin Allah, kami akan ke sini lagi, berjumpa dan bermesra bersama anak-anak ini agar mereka tahu bahawa mereka disayangi bukan dibenci. Mereka sama seperti kami, layak mendapat layanan kasih sayang.


Alhamdulillah ! Alhamdulillah ! Alhamdulillah !


Indahnya apabila masih berpeluang untuk berkongsi hidup walau sementara dengan anak-anak di rumah ini. Pelbagai usia, pelbagai kerenah namun hakikatnya, mereka mengalami nasib yang sama. Dijaga dan dipelihara dalam sebuah rumah yang penuh barakah.
Hebat jiwa pemilik rumah ini, memilih untuk memelihara anak-anak syurga. Memilih untuk mengumpul kekayaan akhirat.

Tidak mudah.. 60 anak yang berbeza usia perlu dijaga kerana ini adalah amanah dari Allah.
Membantu memberi kerja dan pendapatan kepada masyarakat sekitar yang memerlukan.
Hebat jiwa mereka. Mereka yang menilai pahala lebih dari segalanya di dunia.
Kadang-kadang rasa "lebih baik" tinggal di rumah ini. Mereka kurang bebas seperti kita, namun masih diberi peluang belajar, menikmati dunia luar (ikut masa), menghafaz Quran dan belajar di sekolah tahfiz berbanding kita yang diberi peluang bebas namun makin lama makin cetek ilmu agama, makin lupa akan Tuhannya.
Mereka belajar erti berkongsi walau sedikit. Bekerjasama walau aku dan dia bukan saudara.

Kita insan yang dipiih Allah sebagai pengutus kebahagian buat insan lain di dunia ini. :)
Semoga Allah mempermudahkan hidup insan yang berjuang di landasan Tuhan.


Refleksi - Wan Syahirah binti Mior Lokman