JellyPages.com

Tuesday, 12 May 2015

REFLEKSI 2 : Nurul Husna Abdul Rahim

Alhamdulillah atas segala anugerah dan bantuan dapat kami selesaikan tugasan Jalinan Masyarakat di Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa bagi memenuhi syarat kursus pada semester kali ini. Melalui tugasan ini, saya diberi amanat sebagai ketua kumpulan buat pertama kalinya sejak saya berada di Universiti Malaya oleh rakan-rakan sekumpulan. Sejujurnya, saya merasakan agak kekok untuk mengetuai perjalanan kami ini, tetapi dengan bantuan rakan-rakan sekumpulan saya mampu menjalankannya walaupun terdapat banyak cacat celanya. Ini adalah kali pertama saya mengetuai dan saya ingin memohon kemaafan kepada Dr. Aishah,penyelia kursus Jalinan Masyarakat kami atas segala masalah yang timbul juga mengucapkan ribuan terima kasih cadangan, nasihat dan pesanan yang diberikan.

Bermula dengan pertemuan kali pertama bersama Ustazah Norhayati bagi mengenali serba sedikit tentang Rumah At-Taqwa, kemudiaanya kunjungan kami yang kedua membawa saya ke sebuah dunia yang barangkali saya sendiri biasa dengannya, tetapi tidak pernah untuk cuba mengenali apa yang ada didalam dunia tersebut. Kini, pertemuan yang ketiga lebih bermakna kerana kami sudah mengenali adik-adik di Rumah At-Taqwa dan perasaan kekok dan malu juga tidak lagi menguasai kerana ia seperti rumah kami bersama adik-adik yang sangat peramah dan penghuni-penghuni didalamnya juga sudah mesra dengan kami. Lega dengan keadaan ini.

Disebabkan kekangan tertentu kami tidak dapat datang pada hari Isnin seperti yang dijanjikan dan kami tiba disana pada hari selasa. Saya sangat terharu bila ada yang bertanya “Kenapa kakak tak datang semalam? Hari ni kami ada Kokurikulum…” Nada kecewa Daniel yang saya dapat tangkap. Mereka menunggu rupanya. Ada juga yang bertanya “Kenapa kakak datang lewat sangat hari ini? Kami sekolah petang. Tak boleh nak berborak..” Pertanyaan Qisma sekali lagi membuat saya kesal. Disebabkan Hari Selasa kami mempunyai kelas pada waktu pagi, kami terpaksa memulakan perjalanan kami agak lewat sekitar jam 12 tengahari.

Aktiviti yang kami jalankan tidak banyak bebeza dari kunjungan kami sebelum ini. Kami tidak mahu mereka merasa terganggu dengan kehadiran kami. Teringat dengan pesanan Dr.Aisyah ketika kami membentangkan kertas kerja projek “Jangan menyusahkan Ustazah dan adik-adik di sana”. Jadi, saya dan rakan sekumpulan memutuskan hanya ingin mengikuti jadual mereka disana dan mungkin apa yang kami boleh beri dengan membuat kuih untuk minuman petang mereka. Kali ini, kami membuat popia sayur dan cheesekut.

Saya ingat lagi pada mulanya mereka muak dengan popia tetapi apabila mereka merasa popia inti kentang pada kunjungan sebelum ini, mereka sangat suka. Kali ini pula mereka bertanya lagi dan habis dalam sekelip mata. Mujurlah setengah dapat disimpan untuk mereka yang masih belum balik dari sekolah. Alkisah pula tentang cheesekut, Daniel baru pulang dari sekolah terus meluru dengan pen dan kertas “Kak, saya nak resepi cheesekut. Nanti boleh jual kat sekolah.” Terkejut saya dibuatnya. Kagum dengan Daniel yang baru berusia 12 tahun. Sebelum ini ada sesetengah adik-adik ini menjual kek batik di sekolah dan kini Daniel mengikut jejak langkah mereka untuk membuat cheesekut. Thumbs up for you! Saya berikan sahaja kerana cheeskut tidak memerlukan api untuk membuatnya dan ia agak selamat untuk mereka.

Selain itu, kami juga membuat aktiviti bersama adik-adik yang lebih kecil. Mereka boleh melukis apa sahaja yang mereka mahu di atas pinggan kertas dengan menggunakan warna dan peralatan yang kami sediakan. Ada yang sangat teruja sehingga banyak mereka lukis. Rakan-rakan saya yang mempunyai bakat terpencil sangat membantu. Seperti biasa, petang mereka perlu mengasingkan baju-baju yang telah dibasuh dan melipatnya. Sesi melipat baju ini sangat mencabar kerana saya menyedari bahawa lipatan baju saya lebih hodoh daripada adik-adik. Malu. Di samping itu, kami berborak bersama ustazah dan adik-adik. Segala macam cerita yang mereka ada. Kali ini, saya cuba menjadi pendengar pula.


Siang sudah hampir melabuhkan tirai dan maaf dari kami kerana tidak dapat memenuhi permintaan adik-adik untuk berada sehingga malam disana. Kami mempunyai komitmen yang lain yang tidak dapat dielakkan. Insha Allah doakan agar kami berkelepangan untuk berkunjung ke sana. Alhamdulillah dengan rezeki yang ada, kami menghadiahkan adik-adik At-Taqwa dengan set water colour. Ustazah sangat gembira menerimanya. Kata Ustazah tahun ini mereka di At-Taqwa kurang menerima bantuan dari segi alat-alat persekolahan kerana mungkin Malaysia digemparkan dengan banjir di negeri Kelantan.



Kepada sesiapa yang bermurah hati bolehlah salurkan sumbangan kepada pihak asrama ini demi meningkatkan prasarana dan kabajikan adik-adik di sini. Sesungguhnya kunjungan ini amat bermakna kerana mendekati adik-adik adalah satu anugerah dan pengalaman yang tidak mampu dilupakan. Semoga adik-adik ini berada di bawah lindunganNya..



Monday, 11 May 2015

REFLEKSI 2 : Siti Nazhatul Nadira Binti Azhar

Refleksi 2 : Siti Nazhatul Nadira Binti Azhar
(Hari Selasa bersamaan 28/4/2015)


Alhamdulilah, Itulah ungkapan yang kami sering ucapkan tatkala selesainya program kami di Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa ini. Jika di lihat kembali sebelum kami memilih tempat ini sebagai pilihan program kami, kami merasakan agak sukar untuk diteruskan kerana adanya pelbagai halangan dan dugaan yang perlu kami hadapi bersama. Tetapi dengan semangat kerjasama dan komitmen yang dicurahkan, kami mampu melakukan dengan sehabis baik. 

Kami lakukan setiap aktiviti berpandukan satu matlamat dan objektif yang hanya ingin menjalinkan hubungan yang erat bersama masyarakat walaupun sumbangan kami hanya sekadar mampu sahaja. Sungguhpun begitu, kenangan dan memori yang tercipta bersama mereka mana mungkin terpadam dengan mudah kerana kami akan mengenang setiap kenangan tersebut didalam hati buat selamanya kerana kenangan ini sungguh bernilai dan indah. 

Kenangan indah dan bernilai ini bermula pada pukul 12.30 tengah hari, kami bertolak menaiki kereta dari Universiti Malaya. Seperti biasa perjalanan kami membawa harapan supaya dapat memberi sedikit kebahagiaan dan kegembiraan kepada mereka semua walaupun pertemuan hanya seketika. Segala barangan kelengkapan dan keperluan dibawa sama. Kami tiba kira-kira jam 2 petang. 

Setibanya kami disana, kami disambut baik oleh adik-adik dan warga rumah tersebut. Belum sempat kami melangkah masuk, mereka semua sudah menyerbu kami dengan penuh keriangan dan senyuman. Kami diberikan pelukan erat oleh mereka semua dan ternyata pelukan itu seperti ingin melepaskan rindu yang sekian lama tidak bersua. Hati kami mulai tersentuh, sayu jika kami terpaksa meninggalkan mereka semua. 

Kami beramah mesra bersama adik-adik, kami berbual, berkongsi cerita, gelak bersama, bergurau bersama. rindu saat itu kerana ketika ini kami merasakan kami semua mempunyai ikatan persaudaraan yang cukup erat walaupun kami mengambil masa yang singkat untuk mengenali antara satu sama lain. 

Kami bercadang ingin melakukan dua masakan pada hari tersebut. Ternyata berhasil, kami membuat cheesekut dan popia berinti lobak merah dan telur. Cadangan membuat cheesekut bermula apabila ketua kami Husna berhasrat untuk memberi satu resepi baharu kepada adik di rumah tersebut untuk dijual. Pada kunjungan kami sebelum ini, adik di rumah tersebut membuat kek batik untuk dijual sebagai sumber mencari duit tambahan mereka. Kami berasa kagum dengan mereka kerana kegigihan yang mereka tunjukkan untuk mencari duit simpanan sendiri. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perasaan itulah hadir didalam diri kami tatkala mengenang kegigihan dan kesungguhan mereka. Walaupun usia masih remaja tetapi pemikiran mereka amatlah luas dan rasional. 






























Kami membuat cheesekut dan popia bersama-sama sehinggalah siap. Kami menjamu selera bersama-sama dengan dihidangkan air anggur. Ternyata kemeriahan rumah tersebut dapat dirasai oleh kami walaupun kami hanya datang tidak sampai sehari. 

Pada petang itu, kami menghabiskan masa bersama dengan megemas dan lipat baju bersama-sama. walaupun tugasan harian mereka dengan menguruskan segala keperluan diri sendiri dengan melipat baju sendiri dan sebagainya. tetapi kami merasakan mereka melakukan tugasan ini secara bersama-sama. Mereka menyidai pakaian bersama-sama, melipat baju bersama-sama, mereka juga makan dengan menggunakan talam (dulang besar). 

Semasa aktiviti memasak didapur, Salwa dan rakan kami yang lain mengajar adik-adik membuat kraf di ruang tamu. Seronok melihat mereka melakukan kraf tersebut dengan menggunakan pinggan kertas dan pensel warna serta krayon. Aktiviti ini dapat mengasah kreativiti mereka semua dengan melukis diatas pinggan kertas tersebut. 


 

 









 


 

 Masa semakin cepat berlalu, pertemuan yang ditakdirkan ini memberi kenangan yang sangat besar dalam hidup kami. Banyak pengajaran dan pengalaman yang kami perolehi dari adik-adik dan warga Rumah At Taqwa ini. Dilahirkan dengan hati yang kental dan kuat untuk menghadapi dunia ini, ditambah lagi dengan ujian dan dugaan besar bahawa ibu bapa mereka yang sudah kembali ke Rahmatullah. Sungguh hiba hati ini, bersyukur tidak terhingga di atas pertemuan ini ya Allah.

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan, walaupun hati menahan sebak, mata menahan untuk mengelak dari mengalir ke pipi. Kami dapat merasakan hati yang lagi sedih dari adik-adik dan warga rumah At Taqwa ini sendiri kerana mereka hanya dapat merasai kasih sayang daripada orang ramai sahaja. Setiap gelak tawa, gurau senda akan disemat dalam fikiran menjadi benih semaian setiap kenangan yang kami lalui disini.

Pelukan erat daripada adik-adik disini memberi seribu pelukan yang membawa harapan untuk kami bersua lagi pada masa akan datang. Doa dan harapan kami agar pertemuan ini akan berterusan sehingga masa akan datang. Semoga ikatan yang terjalin ini akan kekal sehinggan ke akhirnya.




Saturday, 9 May 2015

REFLEKSI 2 - Siti Rokiah Binti Mahmud

Refleksi 2 - Siti Rokiah Binti Mahmud

Assalamualaikum W.B.T.

28 April 2015 (Selasa) merupakan hari berakhirnya program bagi kumpulan kami ke Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa di Puchong. Ketibaan kami ke sana telah disambut dengan riang oleh adik-adik yang menghuni di sana.


Bagi mengeratkan lagi tautan kasih antara kami dan adik-adik, kami telah menyediakan beberapa aktiviti. Antaranya adalah aktiviti melukis dan mewarna menggunakan warna crayon di atas pinggan polistrene. Perasaan gembira tidak terkata apabila diri ini dapat bermain dengan adik-adik di sana. Kadangkala manusia meluahkan perasaan melalui coretan dan lukisan bukannya melalui kata-kata. Saya berharap melalui lukisan yang telah dihasilkan oleh adik-adik tersebut mampu sedikit sebanyak menjadi medium luahan diri masing-masing. Setiap kali memandang mereka, terdetik rasa di hati betapa bersyukurnya kita masih punyai keluarga dan rumah sendiri. Betapa beruntungnya diri apabila mengenangkan dapat makan makanan yang diingini setiap hari. Namun begitu, keberuntungan dan kesyukuran mereka tetap tidak dapat ditandingi. Biarpun perasaan mereka tidak dapat kami teroka tapi melihat senyuman yang terukir di bibir mereka cukup menyejukkan hati. Ada yang melukis rumah, menggambarkan mereka pasti merindui rumah mereka. Saya belajar bahawa seberat manapun ujian Allah, saya harus tersenyum dan melangkah dengan gagah sambil menadah tangan kepada-Nya. Di rumah ini jugalah mereka belajar mengaji di pagi atau petang hari memenuhi kekosongan hari sedangkan kita yang mempunyai segala-galanya mungkin sukar untuk menyelak muka Al-Quran walaupun semuka sehari.




Dalam memenuhi kekosongan waktu, kami telah memasak popia gorang yang berintikan sayuran dan membuat cheesekut untuk adik-adik-adik di sana. Kami dibantu oleh beberapa orang adik di sana ketika menggulung popia. Pepatah ada mengatakan bahawa tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Kami sangat bersyukur dan berbesar hati kerana mampu memasakkan sesuatu untuk mereka walaupun makanan yang biasa-biasa sahaja.





Dalam keriangan harusnya terselit kenangan. Adik Qoit, seorang kanak-kanak comel yang manja dan comel serta mesra dengan sesiapa sahaja yang dikenalinya. Dirinya sering diusik oleh kawan-kawannya dan dia hanya menangis (sekejap sahaja). Tetapi betapa beruntungnya adik Qoit adalah dia mempunyai abang yang sangat menyayangi dirinya. Setiap kali diusik, abangnya iaitu Danial dan rakannya yang lain akan memarahi sesiapa yang mengusik adiknya. Keadaan ini sudah cukup menjelaskan bahawa biarpun mereka adik-beradik berada jauh daripada keluarga mereka mampu menjaga antara satu sama lain bahkan hubungan mereka juga semakin erat. Di sini saya belajar bahawa walaupun perbezaan antara saya dan orang lain sangat besar saya patut terima orang lain, menghargai mereka dan menjaga mereka seperti keluarga sendiri.

Inilah Adik Qoit =D

Dalam sibuk melayan keriangan adik-adik, tibalah masa untuk kami pulang ke UM. Perasaan sedih tidak dapat dipendam. Saya yakin setiap ahli kumpulan berasa sedih dan seolahnya kami akan kehilangan sesuatu, biarpun keberadaan kami di sana hanyalah untuk beberapa ketika tapi kami benar-benar jatuh kasih terhadap mereka. Membayangkan bebanan adalah tidak sama dengan menanggung beban itu sendiri. Hanya doa mampu dititipkan setiap hari semoga adik-adik berjaya di dunia dan akhirat. Harapan juga sangat tinggi agar suatu hari dapat menjejakkan lagi kaki ke sana.






Kegembiraan yang dirasa tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana rindu itu abstrak bentuknya tidak mungkin dapat diukur besar mahupun beratnya. Adik-adik, jika kerana Allah kita bertemu, kasih kita bertaut, maka kerana Allah juga kita akan bertemu lagi selagi panjang umur.