JellyPages.com

Monday 11 May 2015

REFLEKSI 2 : Siti Nazhatul Nadira Binti Azhar

Refleksi 2 : Siti Nazhatul Nadira Binti Azhar
(Hari Selasa bersamaan 28/4/2015)


Alhamdulilah, Itulah ungkapan yang kami sering ucapkan tatkala selesainya program kami di Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa ini. Jika di lihat kembali sebelum kami memilih tempat ini sebagai pilihan program kami, kami merasakan agak sukar untuk diteruskan kerana adanya pelbagai halangan dan dugaan yang perlu kami hadapi bersama. Tetapi dengan semangat kerjasama dan komitmen yang dicurahkan, kami mampu melakukan dengan sehabis baik. 

Kami lakukan setiap aktiviti berpandukan satu matlamat dan objektif yang hanya ingin menjalinkan hubungan yang erat bersama masyarakat walaupun sumbangan kami hanya sekadar mampu sahaja. Sungguhpun begitu, kenangan dan memori yang tercipta bersama mereka mana mungkin terpadam dengan mudah kerana kami akan mengenang setiap kenangan tersebut didalam hati buat selamanya kerana kenangan ini sungguh bernilai dan indah. 

Kenangan indah dan bernilai ini bermula pada pukul 12.30 tengah hari, kami bertolak menaiki kereta dari Universiti Malaya. Seperti biasa perjalanan kami membawa harapan supaya dapat memberi sedikit kebahagiaan dan kegembiraan kepada mereka semua walaupun pertemuan hanya seketika. Segala barangan kelengkapan dan keperluan dibawa sama. Kami tiba kira-kira jam 2 petang. 

Setibanya kami disana, kami disambut baik oleh adik-adik dan warga rumah tersebut. Belum sempat kami melangkah masuk, mereka semua sudah menyerbu kami dengan penuh keriangan dan senyuman. Kami diberikan pelukan erat oleh mereka semua dan ternyata pelukan itu seperti ingin melepaskan rindu yang sekian lama tidak bersua. Hati kami mulai tersentuh, sayu jika kami terpaksa meninggalkan mereka semua. 

Kami beramah mesra bersama adik-adik, kami berbual, berkongsi cerita, gelak bersama, bergurau bersama. rindu saat itu kerana ketika ini kami merasakan kami semua mempunyai ikatan persaudaraan yang cukup erat walaupun kami mengambil masa yang singkat untuk mengenali antara satu sama lain. 

Kami bercadang ingin melakukan dua masakan pada hari tersebut. Ternyata berhasil, kami membuat cheesekut dan popia berinti lobak merah dan telur. Cadangan membuat cheesekut bermula apabila ketua kami Husna berhasrat untuk memberi satu resepi baharu kepada adik di rumah tersebut untuk dijual. Pada kunjungan kami sebelum ini, adik di rumah tersebut membuat kek batik untuk dijual sebagai sumber mencari duit tambahan mereka. Kami berasa kagum dengan mereka kerana kegigihan yang mereka tunjukkan untuk mencari duit simpanan sendiri. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perasaan itulah hadir didalam diri kami tatkala mengenang kegigihan dan kesungguhan mereka. Walaupun usia masih remaja tetapi pemikiran mereka amatlah luas dan rasional. 






























Kami membuat cheesekut dan popia bersama-sama sehinggalah siap. Kami menjamu selera bersama-sama dengan dihidangkan air anggur. Ternyata kemeriahan rumah tersebut dapat dirasai oleh kami walaupun kami hanya datang tidak sampai sehari. 

Pada petang itu, kami menghabiskan masa bersama dengan megemas dan lipat baju bersama-sama. walaupun tugasan harian mereka dengan menguruskan segala keperluan diri sendiri dengan melipat baju sendiri dan sebagainya. tetapi kami merasakan mereka melakukan tugasan ini secara bersama-sama. Mereka menyidai pakaian bersama-sama, melipat baju bersama-sama, mereka juga makan dengan menggunakan talam (dulang besar). 

Semasa aktiviti memasak didapur, Salwa dan rakan kami yang lain mengajar adik-adik membuat kraf di ruang tamu. Seronok melihat mereka melakukan kraf tersebut dengan menggunakan pinggan kertas dan pensel warna serta krayon. Aktiviti ini dapat mengasah kreativiti mereka semua dengan melukis diatas pinggan kertas tersebut. 


 

 









 


 

 Masa semakin cepat berlalu, pertemuan yang ditakdirkan ini memberi kenangan yang sangat besar dalam hidup kami. Banyak pengajaran dan pengalaman yang kami perolehi dari adik-adik dan warga Rumah At Taqwa ini. Dilahirkan dengan hati yang kental dan kuat untuk menghadapi dunia ini, ditambah lagi dengan ujian dan dugaan besar bahawa ibu bapa mereka yang sudah kembali ke Rahmatullah. Sungguh hiba hati ini, bersyukur tidak terhingga di atas pertemuan ini ya Allah.

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan, walaupun hati menahan sebak, mata menahan untuk mengelak dari mengalir ke pipi. Kami dapat merasakan hati yang lagi sedih dari adik-adik dan warga rumah At Taqwa ini sendiri kerana mereka hanya dapat merasai kasih sayang daripada orang ramai sahaja. Setiap gelak tawa, gurau senda akan disemat dalam fikiran menjadi benih semaian setiap kenangan yang kami lalui disini.

Pelukan erat daripada adik-adik disini memberi seribu pelukan yang membawa harapan untuk kami bersua lagi pada masa akan datang. Doa dan harapan kami agar pertemuan ini akan berterusan sehingga masa akan datang. Semoga ikatan yang terjalin ini akan kekal sehinggan ke akhirnya.




No comments:

Post a Comment