JellyPages.com

Sunday 26 April 2015

REFLEKSI 1-Siti Rokiah Mahmud

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t. 


You have to take the good with the bad,
Smile when you are sad,
Love what you have got,
And remember what you had.

Mengendalikan sebuah program Jalinan Kasih Bersama Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa di bawah subjek Jalinan Masyarakat bersama 8 orang rakan yang lain sememangnya memberikan seribu satu makna dan pengalaman yang terbaik yang tidak akan saya peroleh melalui pembacaan mahupun pembelajaran jika tidak saya melaluinya sendiri. Melalui program inilah saya belajar banyak perkara terutamanya kerjasama antara ahli kumpulan yang sememangnya memainkan peranan yang penting bagi melancarkan program.

Rumah At-Taqwa menempatkan anak-anak fakir miskin, anak-anak yatim malahan, keluarga yang tidak mempu untuk menyara diri. Betapa bersyukurnya diri ini kerana masih mampu berada di rumah sendiri dan menerima kasih sayang daripada sebuah keluarga, berbanding dengan mereka di sana. Tetapi ini bukanlah bermakna bahawa penghuni At-Taqwa kekurangan kasih sayang, bahkan kemungkinan kasih sayang yang mereka terima adalah lebih banyak dan besar daripada Allah S.W.T.. 

Sebagai manusia, tiada yang pernah sempurna. Begitu juga dengan diri ini yang seringkali mengeluh kerana kekurangan sesuatu. Tetapi, apabila berkunjung ke sana, saya belajar bahawa melalui kekurangan itu sepatutnya diraikan dengan perkongsian. Di situ, mereka berkongsi segala-galanya agar tiada yang kekurangan. Contohnya makan bersama di dalam sebuah talam dan sememangnya ini merupakan pengajaran untuk diri ini bahawa rezeki itu milik Allah.S.W.T. dan walaupun rezeki yang saya peroleh adalah sedikit, saya patut berkongsi dengan orang lain. 

Ketika membuat kunjungan ke Rumah At Taqwa buat kali kedua, beberapa orang adik-adik di sana tidak sihat (demam). Sampainya kami di sana, adik Qismah (seorang gadis berusia 13 tahun) dengan sabarnya melayan karenah adik-adiknya yang demam. Terdetik di hati ini bahawa jika adik Qismah yang tiada pertalian darah dengan adik-adik lain yang demam mampu untuk menjaga mereka, bagaimana pula dengan diri kita. Saya telah belajar bahawa kita patut membantu orang lain walaupun saling tidak mengenali  ataupun tiada pertalian hubungan sekalipun.

Kasih tertumpah melihat dan melayan karenah adik-adik comel yang petah berbicara. Sukar untuk diri ini menyelami perasaan mereka. Tiada wajah yang sedih atau terluka bahkan wajah mereka penuh dengan senyum tawa dan kelihatan lebih bahagia daripada diri kita yang punya segala-galanya. Betapa kerdilnya diri ini tatkala sering terlupa untuk memberi senyuman walaupun ketika diri ini tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. 

Ada tiga pusaka kebajikan :
-Merahsiakan keluhan
-Merahsiakan musibah
-Merahsiakan sedekah


-Siti Rokiah Binti Mahmud-






No comments:

Post a Comment