JellyPages.com

Tuesday 28 April 2015

REFLEKSI 1- Nurul Husna Abdul Rahim

Memberi sinar pada kehidupan insan yang kurang bernasib baik, sekali gus merapatkan jurang antara yang senang dan susah bagi sesetengah orang ia memberi kepuasan yang tidak dapat dijelaskan dengan perkataan. Banyak cara boleh dilakukan sama ada memberi sumbangan berbentuk wang ringgit atau tenaga, melakukan kerja-kerja sukarela atau beramal mengikut cara sendiri seperti yang kami 9 orang lakukan. Tetapi, apa yang saya paling teruja ialah pemilihan untuk mengabdikan kehidupan dengan membantu anak-anak yang bertuah ini. Kenapa saya kata mereka bertuah? Sebab anak-anak ini dilindungi oleh pasangan yang sangat berjiwa besar dan saya sendiri tidak mampu meluahkan siapa sebenarnya pasangan Encik Amran dan Ustazah Norhayati ini. Superman, Batman, Hulk, Hawkey dan Black Widow juga boleh dikalahkan jika harus berlawan dengan mereka. Komik sangat.

Saya ingat lagi pagi ketika kami bertandang, adik-adik sekolah sesi petang sedang bersiap-siap untuk ke sekolah. Saya melihat mereka masih seusia adik bongsu saya sudah berdikari mengurus diri sendiri. Memegang seterika tetapi masih sempat lagi melayan kami yang masih kekok dan malu. Memikirkan balik situasi ketika itu, saya mengagumi pasangan warden ini. Tidak tahu kenapa. Hanya sangat kagum.
Rumah itu kembali meriah apabila adik-adik yang bersekolah sesi pagi pulang. Ada yang pulang terus berehat. Penat agaknya. Ada yang terus bersiap-siap untuk pergi ke sekolah semula untuk sesi kokurikulum. Mereka sangat sibuk dengan aktiviti harian mereka. Makan dalam talam. Solat berjemaah. Kelas Fardhu Ain. Semuanya berlaku sangat cepat.
Saya menarik nafas sedalam-dalamnya untuk menulis refleksi ini. Saya sendiri tidak tahu apa yang saya ingin laporkan. Saya dan rakan-rakan tidak mampu memberikan apa-apa kepada mereka seperti sukarelawan yang lain. Saya ingat lagi, petang itu ada hamba Allah menghantar makanan yang sangat banyak untuk mereka. Terdetik di hati cemburu bila ada yang datang untuk menghantar makanan kepada anak-anak ini. Saya cemburu sebab saya tidak mampu memberikan apa yang mereka mahu. Saya cemburu bila mereka sangat mengenali dan merengek-rengek mahu mengikut dua orang jejaka yang saya rasanya sudah menjadi sukarelawan tetap di rumah At-Taqwa.
Apa yang saya dan rakan-rakan hanya lakukan untuk cuba memenangi hati mereka dengan membaca buku cerita, walaupun sudah habis dibaca, ingin mengulanginya lagi, “Alahai adikku sayang, seronok sangat kakak-kakak bercerita ya.” Saya membuat inti samosa gulung untuk mereka, tiba-tiba saya terdengar “Popia lagi.” Kami sekumpulan memujuk mereka untuk rasa dan beri komen “Eh, sedaplah !”, “Nak lagi.” Ustazah NorHayati sendiri beritahu sedap. Sungguh saya tersenyum. Sejujurnya, selama ini hanya melihat Umi (mak saya) memasak dan hari itu saya mencubanya untuk kali pertama. Saya sendiri terfikir adakah saya dilahirkan dengan bakat memasak atau resepi inti samosa Umi yang sedap. Hehe. Saya berangan seorang diri lagi.
 Hanya meluangkan masa yang singkat untuk mereka dan dalam masa yang sama menyelesaikan tugasan Jalinan Masyarakat ini, saya merasakan tidak adil untuk adik-adik saya di At-Taqwa. Mereka patut diberi lebih dari apa yang kami lakukan dengan mereka. Saya kecewa lagi. Tetapi, mereka sangat baik, mereka sangat manis, mereka menerima kami seadanya.
“Kenapa balik awal sangat, kak?”
“Baliklah pukul 10 malam.”
“Jom lah duduk dengan kami lagi.”
“Datang lagi tau.”
“Nanti kalau datang lagi, duduk sampai malam.”
“Tidur sini je, esok pagi baru balik. Boleh kita sembang lama-lama.”

Pesanan-pesanan dan lambaian-lambaian yang diterima sangat memberikan makna yang sangat besar untuk kami 9 orang ceria kembali selepas segala perasaan cemburu dan kecewa dengan diri sendiri. Saya bukanlah orang yang mudah tercuit, tetapi saya pasti dan rakan-rakan saya juga pasti, adik-adik di rumah At-Taqwa sudah memberi satu benda yang tidak ternilai. Itulah sebuah penghargaan. 
Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment